KUCHING, 23 Jun — Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyatakan bahawa Sarawak bersedia untuk menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027, dengan syarat Kerajaan Persekutuan memenuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan.
Beliau menyatakan bahawa salah satu syarat utama adalah mengenai perkongsian kos perbelanjaan penganjuran yang dianggarkan mencecah RM750 juta.
Jelas Abang Johari, antara permintaan Sarawak adalah agar sebahagian daripada acara yang dipertandingkan mesti dianjurkan di Sarawak dan menegaskan bahawa upacara pembukaan perlu diadakan di Sarawak, manakala upacara penutupan boleh diadakan di Semenanjung Malaysia.
“Kita akan menanggung kos bersama, dan saya rasa ia amat baik untuk kita menganjurkan Sukan SEA 2027 bagi melihat bakat atlet negara kita dan bersaing melalui Sukan SEA. Mengikut anggaran, kos penganjuran adalah sekitar RM750 juta, jadi kita akan menanggung separuh daripada kos tersebut,” katanya.
“Jika syarat-syarat ini dipenuhi, tiada masalah untuk Sarawak menjadi penganjur bersama,” katanya.
Beliau menyatakan demikian semasa berucap pada majlis Jelajah Larian Baton Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 peringkat Bahagian Kuching di Tebingan Kuching, pagi tadi.
Abang Johari menekankan bahawa kos penganjuran yang tinggi menjadi faktor utama mengapa Sarawak dicadangkan untuk terlibat dalam penganjuran temasya dwitahunan tersebut.
Menurut beliau, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, telah berbincang dengan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengenai hasrat ini.
Abang Johari juga berkata bahawa kesediaan Sarawak untuk menjadi penganjur bersama temasya ini selaras dengan agenda pembangunan bakat yang terkandung dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030.
Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi Ke-21 di Sarawak merupakan platform kepada atlet negara untuk terus menguji bakat mereka dan meningkatkan pembangunan bakat sukan di Malaysia.
“Kos penganjuran SUKMA ini memang besar, dan atas permintaan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, demi pembangunan sukan di seluruh Malaysia, Sarawak sudi menjadi tuan rumah,” katanya.
Sarawak telah menetapkan dua syarat utama sebelum bersetuju menjadi hos bersama bagi penganjuran Sukan SEA 2027.
“Kerajaan Persekutuan mencari hos bersama disebabkan bajet penganjuran yang besar, dan Sarawak telah didekati untuk menjadi hos bersama. Saya telah menetapkan syarat bahawa sebahagian acara sukan serta upacara pembukaan Sukan SEA perlu diadakan di Sarawak,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, serta Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Chef De Mission Kontinjen SUKMA Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu.